Friday, May 21, 2010

JELAJAH ILMU KE DAR AL-ULUM


Kediaman kami di Abbasiah menghendaki kami untuk menaiki dua jenis kenderaan iaitu bas dan metro untuk ke Universiti Kaherah. Bas, kami naiki dari Abbasiah ke stesen bas ‘Attaba dengan tambang berbeza mengikut jenis bas yang dinaiki. Bagi bas pendek kosnya adalah LE1.50, bas panjang lama 50 qurusy dan bas panjang baru LE1.00. Perjalanan dengan bas dari Abbasiah ke ‘Attaba mengambil masa 30 minit. Jaraknya tidak jauh tetapi trafik yang sesak, ditambah tanpa lampu isyarat dan polis trafik yang berperanan ibarat tugu menjadikan jalan sangat menyesakkan. Itu tidak termasuk kemungkinan diganggu dengan puluhan kambing biri-biri yang dibenarkan dibela di tepi jalan dan keldai yang turut terlibat dengan ‘jam’ bersama kenderaan yang lain. Pengalaman bersesak dalam bas juga mengajar kami bagaimana menjadi salah seorang penduduk Kaherah. Bas yang tetap berjalan walaupun diketahui ada penumpang yang ingin naik memastikan kami lebih cergas dan bersedia.

Dari ‘Attaba kami berjalan kaki ke stesen metro iaitu stesen keretapi bawah tanah yang menjadi antara nadi pengangkutan utama penduduk Kaherah yang padat. Tambang ke mana-mana lokasi stesen diselarikan iaitu sebanyak LE1.00. Sekali lagi kami terpaksa menempuh kepadatan dalam metro yang boleh diibaratkan seperti tin sardin terutamanya di waktu kemuncak iaitu tengah hari. Untuk memahami gelagat arab Mesir cukup dengan melihat penumpang-penumpangnya. Metro ibarat penglipurlara tanpa suara yang sangat berkesan mengisahkan 1001 cerita Kaherah dan penghuninya. Perjalanan dari stesen ‘Attaba ke stesen Cairo University memakan masa hanya 10-15 minit melalui beberapa stesen yang lain. Stesen ini terletak hanya bersebelahan dengan Universiti Kaherah dan menjadi antara pengangkutan utama mahasiswa-mahasiswi di sini. Perjalanan memakan masa lebih kurang satu jam. Ia bukan sekadar perjalanan semata-mata tetapi satu pengajian tidak formal melalui metod observasi yang kami tempuhi saban minggu di Kaherah selain pengajian rasmi di Dar al-Ulum.

No comments:

Post a Comment