Thursday, June 24, 2010

Mesir dan Ulama


Bumi Mesir ini kaya dengan ilmu dan ulama. Tidak hairanlah Mesir menjadi tempat tumpuan ratusan ribu manusia untuk menuntut ilmu daripada ulama yang terdapat disini. Tidak terkecuali kami yang datang daripada Universiti Malaya ke Negara Mesir ini, bagi merasai dan menimba pengalaman menuntut ilmu di bumi yang penuh dengan pelbagai sejarah kehidupan manusia. Daripada sejarah para anbia’ yang taat kepada perintah Allah sehinggalah kisah manusia yang mengaku sebagai tuhan iaitu Firaun. Itulah Negara Mesir yang terdapat namanya di dalam al-Quran sebanyak 5 kali. Salah satu daripadanya ialah di dalam surah Yusuf ayat 55 iaitu

(#qè=äz÷Š$# uŽóÇÏB bÎ) uä!$x© ª!$# tûüÏZÏB#uä ÇÒÒÈ

"Masuklah kamu ke negeri Mesir, insya Allah kamu berada di dalam aman”.

Ayat ini dikatakan oleh Nabi Yusuf ketika meyambut kedua ibu bapanya yang datang ke Mesir pada ketika itu. Ayat ini juga anda akan terbaca ketika memasuki lapangan terbang Kaherah. Persoalannya, adakah anda yang memasuki Mesir berada dalam keadaan aman? Persoalan ini mungkin boleh dijawab setelah kita berada di Mesir pada ketika ini. Perkataan aman itu begitu subjektif untuk diterangkan. Setiap orang akan mempunyai makna tersendiri apabila ditanya mengenai ‘aman’ apabila berada di Mesir. Diantara keamanan yang boleh didapati apabila berada di Mesir ini ialah bersama dengan para ulama yang terdapat di Mesir ini dan ilmu yang masih melimpah ruah di bumi Kinanah ini. Menuntut ilmu bukanlah satu perkara yang mudah. Ia memerlukan pengorbanan daripada pelbagai sudut sebelum layak menjadi seorang yang boleh digelar ‘ulama’. Salah seorang pensyarah kami di Jamiah al-Qaherah Prof. Dr. Fatah al-Fathi menaqalkan kata-kata hikmah yang menyatakan :

لن تعطيك العلمُ بعضه حتى تعطيه كلّك

Kamu tidak akan dapat memperoleh ilmu walaupun sebahagian daripadanya sehingga kami memberi kepada ilmu, semua yang ada pada kamu.

Inilah perumpamaan yang cukup dalam yang perlu difikirkan oleh para penuntut ilmu. Wallahu A’alam.

Sunday, June 20, 2010

Bersama Prof. Dr. Syeikh Rif’at Fauzi Abd al-Mutalib


Di sini kami berasa cukup istimewa dan bertuah kerana sebahagian daripada kami dapat belajar dengan salah seorang ulama Mesir yang pakar dalam bidang hadis. Beliau ialah Prof.Dr. Syeikh Rif’at Fauzi Abd al-Mutalib. Seorang yang berperawakan lemah lembut dan mesra amat menyenangkan kami apabila berjumpa dengan beliau. Kelas pengajian kami yang sepatutnya diadakan di Jamiah, tetapi telah diadakan di rumah beliau dimana terdapat sebuah perpustakaan yang diasaskan oleh beliau dengan nama Maktabah al-Quran wa al-Hadith. Di dalam Maktabah ini terdapat pelbagai koleksi kitab-kitab yang dikumpul oleh beliau meliputi seluruh bidang ilmu pengajian Islam. Di dalam maktabah ini kami telah diajar metodologi membuat rujukan terhadap hadis. Sebut sahaja kitab yang ingin dirujuk kepada beliau, beliau sendiri yang akan menunjukkan tempat kitab tersebut di dalam Maktabah yang mempunyai 4 ruang bilik yang penuh dengan kitab-kitab di sekelilingnya. Salah satu daripada bilik tersebut dikhususkan untuk beliau membuat kajian beliau. Berikut merupakan riwayat hidup beliau yang diterjemah daripada salah sebuah buku beliau.

Prof.Dr.Syeikh Rif’at Fauzi Abd al-Mutalib dilahirkan pada 30 Julai 1940 di sebuah kampung yang terdapat di al-Daqhaliah iaitu salah sebuah daerah di Mesir. Beliau telah menghafaz al-Quran pada ketika umurnya 12 tahun di kampungnya. Beliau menamatkan pengajiannya di peringkat rendah dan menengah pada tahun 1961 di al-Azhar. Seterusnya,beliau menyambung pengajiannya di Kuliah Dar al-Ulum, Jamiah al-Qahirah dan menamatkan ijazah pada tahun 1965, sarjana pada tahun 1973 dan Doktor Falsafah pada tahun 1976 di Universiti yang sama. Beliau telah menjadi tenaga pengajar di Kuliah Dar al-Ulum sehingga bergelar Profesor di Jabatan Syariah, di samping berpengalaman di dalam pengurusan Jabatan selama 4 tahun. Beliau juga berpengalaman dalam mengajar ilmu-ilmu syariah terutama yang berkaitan dengan ilmu hadis di pelbagai universiti di Mesir dan di luar. Selain itu, beliau telah banyak menjadi ‘musyrif’ dan ‘munaqish’ kepada pelbagai kajian yang dilakukan di Universiti-universiti di Timur Tengah. Dengan kepakaran beliau di dalam kajian ilmu hadis, beliau telah menghasilkan lebih 15 buah kitab dan telah mentahqiq lebih 20 ‘makhtutat’ yang telah diterbitkan. Antara kitab yang dihasilkan ialah Tauthiq al-Sunnah fi al-Qarn al-Thani al-Hijri, Ibnu Abi Hatim wa Asaruhu fi Ulum al-Hadis, Sahifah ‘Ali bin Abi Talib-Dirasah Tawsiqiah Fiqhiah. Manakala hasil tahqiq beliau pula ialah al-Umm li al-Imam al-Syafi’- 12 jilid, Adab al-Fatwa li Ibn al-Solah dan Sohifah Hammam bin Munabbih-Syarh wa Tahqiq. Wallah A’alam.

Saturday, June 5, 2010

Menjejaki Nabi Harun a.s dan Nabi Musa a.s di Gunung Tursina, Mesir


Nabi Harun a.s adalah saudara kandung Nabi Musa a.s. Kisahnya di dalam Al-Qur’an selalu disebut bersama dengan kisah saudaranya itu. Ia mendampingi Nabi Musa a.s menemui Fir’aun untuk meminta agar Fir’aun melepaskan Bani Israil dari perhambaan untuk mengingatkannya serta meluruskan jalan hidupnya yang melampaui batas.

Dengan lemah lembut, Nabi Musa a.s dan Nabi Harun a.s menghadapi keangkuhan Fir’aun yang mengaku diri tuhan. Akhirnya mereka berjaya membawa keluar Bani Israil dari Mesir. Ketika sampai di sekitar Gunung Sinai, Nabi Musa a.s meninggalkan Bani Israil selama 40 hari untuk menemui Tuhan di puncak Gunung Sinai, Nabi Harun a.s diserahi tugas menjaga kaumnya. Nabi Harun a.s wafat lebih dulu dari Nabi Musa a.s dan dikuburkan di Bukit Hur di Gurun Sinai.

Merasai kepayahan saudara Nabi Harun a.s iaitu Nabi Musa a.s yang mendaki Gunung Sinai untuk menerima wahyu dari Allah S.W.T.

Pendakian bermula jam sekitar 1 pagi, dan berjaya sampai ke puncak pada sekitar jam 4 pagi. Solat subuh dilaksanakan di masjid kecil yang dibina berdekatan dengan gereja. Benar-benar merasai keletihan dan tergambar kesabaran bagaimana salah seorang Nabi Ulul al-'Azmi yakni Nabi Musa a.s mendakinya untuk menerima wahyu dari Allah S.W.T