Sunday, June 20, 2010

Bersama Prof. Dr. Syeikh Rif’at Fauzi Abd al-Mutalib


Di sini kami berasa cukup istimewa dan bertuah kerana sebahagian daripada kami dapat belajar dengan salah seorang ulama Mesir yang pakar dalam bidang hadis. Beliau ialah Prof.Dr. Syeikh Rif’at Fauzi Abd al-Mutalib. Seorang yang berperawakan lemah lembut dan mesra amat menyenangkan kami apabila berjumpa dengan beliau. Kelas pengajian kami yang sepatutnya diadakan di Jamiah, tetapi telah diadakan di rumah beliau dimana terdapat sebuah perpustakaan yang diasaskan oleh beliau dengan nama Maktabah al-Quran wa al-Hadith. Di dalam Maktabah ini terdapat pelbagai koleksi kitab-kitab yang dikumpul oleh beliau meliputi seluruh bidang ilmu pengajian Islam. Di dalam maktabah ini kami telah diajar metodologi membuat rujukan terhadap hadis. Sebut sahaja kitab yang ingin dirujuk kepada beliau, beliau sendiri yang akan menunjukkan tempat kitab tersebut di dalam Maktabah yang mempunyai 4 ruang bilik yang penuh dengan kitab-kitab di sekelilingnya. Salah satu daripada bilik tersebut dikhususkan untuk beliau membuat kajian beliau. Berikut merupakan riwayat hidup beliau yang diterjemah daripada salah sebuah buku beliau.

Prof.Dr.Syeikh Rif’at Fauzi Abd al-Mutalib dilahirkan pada 30 Julai 1940 di sebuah kampung yang terdapat di al-Daqhaliah iaitu salah sebuah daerah di Mesir. Beliau telah menghafaz al-Quran pada ketika umurnya 12 tahun di kampungnya. Beliau menamatkan pengajiannya di peringkat rendah dan menengah pada tahun 1961 di al-Azhar. Seterusnya,beliau menyambung pengajiannya di Kuliah Dar al-Ulum, Jamiah al-Qahirah dan menamatkan ijazah pada tahun 1965, sarjana pada tahun 1973 dan Doktor Falsafah pada tahun 1976 di Universiti yang sama. Beliau telah menjadi tenaga pengajar di Kuliah Dar al-Ulum sehingga bergelar Profesor di Jabatan Syariah, di samping berpengalaman di dalam pengurusan Jabatan selama 4 tahun. Beliau juga berpengalaman dalam mengajar ilmu-ilmu syariah terutama yang berkaitan dengan ilmu hadis di pelbagai universiti di Mesir dan di luar. Selain itu, beliau telah banyak menjadi ‘musyrif’ dan ‘munaqish’ kepada pelbagai kajian yang dilakukan di Universiti-universiti di Timur Tengah. Dengan kepakaran beliau di dalam kajian ilmu hadis, beliau telah menghasilkan lebih 15 buah kitab dan telah mentahqiq lebih 20 ‘makhtutat’ yang telah diterbitkan. Antara kitab yang dihasilkan ialah Tauthiq al-Sunnah fi al-Qarn al-Thani al-Hijri, Ibnu Abi Hatim wa Asaruhu fi Ulum al-Hadis, Sahifah ‘Ali bin Abi Talib-Dirasah Tawsiqiah Fiqhiah. Manakala hasil tahqiq beliau pula ialah al-Umm li al-Imam al-Syafi’- 12 jilid, Adab al-Fatwa li Ibn al-Solah dan Sohifah Hammam bin Munabbih-Syarh wa Tahqiq. Wallah A’alam.

No comments:

Post a Comment