Monday, July 5, 2010

Bersama Sheikh Ibrahim al-Kattani





Pada 2 Julai 2010 (jumaat) yang lepas, rombongan kami diberi kesempatan untuk bertemu dengan ulama' hadis terkemuka dan tersohor dunia Syeikh Muhammad bin Ibrahim bin Abdul Ba'ith Al-Husaini Al-Kattani di masjid beliau di Iskandariah. Pertemuan ini dibuat sebaik sahaja beliau usai memberikan kuliah selepas mengimamkan solat jumaat. Antara pesanan yang diberikan kepada kami ialah supaya tidak hanya bergantung kepada pengajian di universiti semata-mata tetapi turut berusaha mendapatkan ilmu melalui kuliah dan ceramah yang boleh didapati di mana-mana. Beliau juga memberi pesanan supaya menjauhi golongan wahabi yang telah menimbulkan perpecahan dan kekalutan di kalangan umat Islam. Di akhir pertemuan beliau mendoakan kami supaya berjaya mencapai matlamat masing-masing. Pertemuan selama 20 minit ini walaupun sekejap sangat memberi makna yang berharga kepada kami. Bersua muka dengan cicit Baginda SAW melalui jalur keturunan Saydina Husin r.a ini memberi pengajaran yang sangat berguna untuk dibawa pulang ke Malaysia kelak. Dr. Umar Abdullah Kamil berkata mengenainya, “Saya tidak pernah bertemu dengan orang yang sealim beliau di dunia ini. Kebanyakan kandungan syarahannya tidak terdapat di dalam kitab-kitab kerana ilmunya diambil terus daripada Allah.” Beliau pernah menyatakan, bahawa beliau menjadi sedemikian setelah bermimpi bertemu dengan Rasulullah. Dalam mimpi tersebut, Rasulullah memberikannya kitab karangan Syeikh Yusuf ibn Ismail al Nabhani yang bertajuk Hujjah Allah ‘ala al ‘Alamin. Kemudian Rasulullah bersabda kepadanya, “Semoga Allah membuka ke atas kamu segala sesuatu.”

No comments:

Post a Comment